Pelakon Abby Abadi mengakui masih sayangkan suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar dan tidak pernah menjangkakan perceraian akan berlaku pada perkahwinan keduanya itu.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, lafaz cerai yang dibuat menerusi mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada pemuda itu pada 9 Mei lalu merupakan satu kejutan kerana ia hanyalah salah faham yang seharusnya tidak berakhir dengan perceraian.
"Saya akui masih sayangkan dia dan langsung tidak pernah membayangkan perceraian akan berlaku kerana salah faham yang timbul tidak sepatutnya berakhir dengan perceraian.
"Bagaimanapun buat masa ini saya tidak nampak jalan untuk kami berbaik semula kerana saya sudah berusaha sehabis baik untuk memperbetulkan keadaan tetapi apalah daya saya kalau itu ketentuan dan takdir saya," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin pada Khamis menangguhkan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan Abby terhadap Muhammad Noor Farhan, 24, kepada 11 Jun ni selepas terdapat satu lagi lafaz cerai yang belum difailkan dan disahkan oleh mahkamah.
Lafaz cerai kali pertama dibuat oleh Muhammad Noor Farhan pada Januari lalu.
Abby tidak pernah menyesal berkahwin dengan Muhammad Noor Farhan biarpun ia hanya bertahan selama 10 bulan sahaja.
Dalam pada itu Abby turut menolak dakwaan keretakan rumah tangganya itu kerana kehadiran orang ketiga termasuk tekanan daripada masyarakat sekeliling yang sentiasa memerhatikannya.
"Bukan kerana orang ketiga dan jika komen orang mengenai saya di laman sosial juga tidak pernah menjadi penyebab kepada kejadian ini dan saya tidak salahkan sesiapa kerana kami berdua ada melakukan kesilapan," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment